KOTA KINABALU: Keindahan dan kepelbagaian budaya Sabah berjaya diabadikan dalam sebuah karya seni oleh seorang pelukis airbrush dari Jepun menerusi projek seni selama enam bulan yang kini dipamerkan di Kampung Budaya Mari Mari, di sini.
Pelukis berusia 52 tahun itu, yang mahu dikenali sebagai Yasu, berkata lawatan budaya yang pada awalnya bersifat santai pada Mac tahun lalu telah meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
Ini sekali gus mencetuskan inspirasi untuk menghasilkan lukisan yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat Sabah.

Terletak kira-kira 30 minit dari bandar raya Kota Kinabalu, Kampung Budaya Mari Mari menawarkan pengalaman budaya menyeluruh termasuk persembahan tarian tradisional, rumah etnik, makanan tempatan, aktiviti kebudayaan serta penceritaan rakyat yang menggambarkan kepelbagaian etnik di negeri ini.
“Saya pernah beberapa kali datang ke Kota Kinabalu, tetapi kunjungan pertama saya ke Kampung Budaya Mari Mari pada Mac tahun lalu benar-benar memberi kesan yang mendalam.
“Saya amat mengagumi usaha pengurusan kampung budaya ini yang terus memelihara warisan budaya dan memperkenalkannya kepada mereka yang tidak mengetahuinya,” katanya.

Yasu turut menyatakan rasa kagum melihat semangat dan kegembiraan kakitangan kampung budaya berkenaan ketika menjalankan tugas, sekali gus mendorong beliau memasukkan wajah-wajah mereka sebagai sebahagian daripada elemen utama dalam lukisan tersebut.
Selepas kembali ke Tottori, Jepun, Yasu meneruskan projek seni itu dari jarak jauh dengan bantuan pasukan Kampung Budaya Mari Mari yang membekalkan gambar kakitangan serta pemandangan Gunung Kinabalu.
Menurutnya, sekeping foto Gunung Kinabalu ketika matahari terbenam yang diterimanya menjadi sumber inspirasi utama penggunaan tona jingga dalam karya tersebut, yang dihasilkan menggunakan teknik airbrush dan pensel di atas kertas kotak kitar semula.
“Saya tahu matahari terbenam di Kota Kinabalu sangat indah. Begitu juga Gunung Kinabalu yang merupakan simbol besar kepada Sabah,” katanya sambil menambah minatnya terhadap haiwan dan serangga turut mempengaruhi elemen hidupan liar yang dimasukkan dalam lukisan berkenaan.
Karya seni asal kini dipamerkan di pintu masuk Kampung Budaya Mari Mari, manakala versi salinan digunakan sebagai latar belakang pentas persembahan bagi tatapan pengunjung.
Mengulas reaksi kakitangan apabila melihat lukisan itu buat kali pertama, Yasu berkata mereka terkejut dan amat gembira dengan hasil karya tersebut.
“Reaksi mereka sangat menggembirakan. Semua orang terkejut dan gembira kerana lukisan ini kelihatan sangat nyata,” katanya



