HomeUtamaKesaksamaan gender keperluan, bukan pilihan dalam pembangunan – Julita

Kesaksamaan gender keperluan, bukan pilihan dalam pembangunan – Julita

Read Time:1 Minute, 36 Second

MATUNGGONG: Kesaksamaan gender perlu diarusperdanakan dalam tadbir urus dan perancangan pembangunan di semua peringkat bagi memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar adil, inklusif serta memberi impak berkesan kepada rakyat.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata, pendekatan berasaskan kesaksamaan gender bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting bagi menjamin pembangunan yang adil dan lestari.

Menurutnya, kesaksamaan gender tidak bermaksud menyamaratakan semua perkara, tetapi memastikan lelaki dan wanita diberi ruang serta peluang yang sama untuk menyumbang mengikut keupayaan dan potensi masing-masing.

“Kesaksamaan gender adalah asas kepada pembangunan yang seimbang. Setiap individu perlu diberi peluang yang adil untuk memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Kepekaan Gender: GENDERasi Harmoni ‘Bergerak Bersama Untuk Kesaksamaan’ di sini, pada Jumaat.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) itu menghimpunkan ketua kampung, pemimpin komuniti serta pegawai kerajaan tempatan bagi memperkukuh pemahaman tentang kepentingan perspektif gender dalam merangka dan melaksanakan inisiatif pembangunan.

Julita berkata, kesedaran tersebut amat penting khususnya di kawasan luar bandar supaya dasar yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan keperluan sebenar masyarakat akar umbi.

Beliau turut menekankan peranan strategik pegawai daerah dan kerajaan tempatan sebagai ejen perubahan dalam memastikan prinsip kesaksamaan gender diterjemahkan kepada tindakan di peringkat pelaksanaan.

“Urus setia daerah dan pegawai kerajaan tempatan merupakan tunjang utama dalam menterjemahkan dasar kepada tindakan. Penyertaan aktif mereka mampu memastikan tadbir urus yang lebih inklusif serta memperkukuh pembangunan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Julita menegaskan bahawa pemerkasaan wanita luar bandar tidak seharusnya terhad kepada penyertaan semata-mata, sebaliknya melibatkan pembinaan kepimpinan, keyakinan diri serta penglibatan aktif dalam proses membuat keputusan.

Katanya, pendekatan tersebut mampu meningkatkan kualiti hasil pembangunan dengan mengambil kira perspektif lebih menyeluruh terhadap keperluan keluarga dan komuniti.

“Pengarusperdanaan gender perlu dilihat sebagai pelaburan sosial jangka panjang yang akan menentukan kualiti pembangunan dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengurusan Tadbir Urus Rumah Ibadat Berlandaskan Undang-Undang Sedia Ada – Kementerian...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular