HomeUtama100 peserta sertai kursus kesiapsiagaan gempa bumi CBDRM di Segamat

100 peserta sertai kursus kesiapsiagaan gempa bumi CBDRM di Segamat

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Seramai 100 orang peserta dalam kalangan komuniti setempat menyertai Program Kesiapsiagaan Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) Gempa Bumi.

Program itu dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pertubuhan Ihsan Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Segamat, Johor.

Program berkenaan melibatkan penyertaan komuniti dari kawasan DUN Buloh Kasap dan DUN Pemanis, selain penglibatan agensi teknikal, pasukan tindak balas bencana serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan komuniti berdepan risiko gempa bumi.

Penglibatan NDRC UMS dalam program itu melengkapkan ekosistem pelaksanaan CBDRM melalui sumbangan kepakaran akademik dan teknikal, mencerminkan kerjasama strategik merentas sektor antara institusi akademik, NGO dan agensi kerajaan dalam usaha pengurangan risiko bencana.

Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, NDRC UMS berperanan sebagai rakan strategik serta penyumbang kepakaran teknikal kepada Pertubuhan Ihsan Johor dalam pelaksanaan Program Kesiapsiagaan CBDRM Gempa Bumi Segamat.

“Penglibatan NDRC UMS merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong agenda pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kepakaran akademik.

“NDRC UMS turut menerima sokongan NADMA melalui peruntukan kewangan projek CBDRM yang disalurkan kepada NDRC.

“Selaras dengan usaha memperkukuh kerjasama merentas sektor dan negeri, sebahagian peruntukan tersebut dikongsi bersama Pertubuhan Ihsan Johor bagi menyokong pelaksanaan program ini, di samping sumbangan kepakaran teknikal NDRC,” katanya.

Tambah beliau, sebagai rakan strategik utama, NDRC UMS memainkan peranan signifikan dalam penyediaan kandungan teknikal serta pelaksanaan modul latihan berasaskan kepakaran akademik dan pengalaman lapangan.

Sementara itu, Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Ir. Ts. Gs. Dr. Noor Sheena Herayani Harith menyampaikan modul kefahaman asas gempa bumi merangkumi punca kejadian, ciri gegaran, risiko geologi serta implikasinya terhadap keselamatan komuniti dan infrastruktur.

Latihan simulasi yang dilaksanakan memberi penekanan kepada keupayaan komuniti untuk bertindak secara terancang dan berkesan bagi mengurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda, selaras dengan pengalaman luas NDRC dalam pelaksanaan latihan kesiapsiagaan bencana di peringkat sekolah dan komuniti.

Penglibatan NDRC UMS sebagai rakan strategik dalam Program CBDRM Gempa Bumi Segamat itu menegaskan peranan universiti sebagai pusat rujukan kepakaran dan pemindahan ilmu, selain menyokong usaha nasional ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi bencana.

Usaha ini juga selari dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 serta Kerangka Sendai 2015–2030.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA, Hussain Moh, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Baptist, serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor, Noorazhar Ngatimin.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan rangka langkah pastikan harga ikan lebih berpatutan di Semenanjung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular