HomeSukanLebih 4,000 peserta sertai Borneo Half Marathon 2026

Lebih 4,000 peserta sertai Borneo Half Marathon 2026

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Seramai lebih 4,000 peserta terdiri dari 18 buah negara menyertai Larian Borneo Half Marathon 2026 sempena sambutan ulang tahun Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke-26 di sini pada Ahad.

Perlumbaan yang berlangsung di Padang Merdeka melibatkan kategori 21 kilometer dan 11 kilometer itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengarah Perlumbaan Borneo Half Marathon Datuk Dr Heng Aik Cheng.

Joniston ketika ditemui berkata, larian yang turut disertai peserta luar negara itu berjaya membuktikan aktiviti larian dan program sukan komuniti semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Katanya, program seumpama itu juga selari dengan usaha berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan.

“Selain larian sempena  ulang tahun bnadaraya Kota Kinabalu, Sabah turut dikenali dengan pelbagai acara sukan lain seperti Borneo Marathon, Climbathon, Harmony Run, Nature Run serta Sunset Run yang menampilkan keindahan alam semula jadi negeri ini,” katanya.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, fokus tidak hanya diberikan kepada sukan lasak, malah turut merangkumi aktiviti sukan ringan seperti larian rekreasi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform penting untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Antara negara yang menyertai Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, United Kingdom, Singapura, Jepun, China, Australia, Bangladesh, India, Switzerland, Amerika Syarikat, Austria, Hong Kong, Belanda, Poland dan Afrika Selatan.

Sementara itu, Dr Heng berkata, pihaknya berbangga melihat lebih ramai rakyat Sabah serta pengunjung dari serantau mengutamakan kecergasan dan menyertai acara yang memupuk kesejahteraan serta semangat komuniti.

Kinabalu Running Club (KRC) baru-baru ini telah menerima Anugerah Penghargaan Khas pada Anugerah Pelancongan Sabah, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada komuniti larian tempatan dan pembangunan pelancongan sukan di Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Cabaran : Kemenangan di Likas beri kelebihan Sabah FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular