HomeUtamaKedai serbaneka di Labuan disiasat pamer harga tidak selaras

Kedai serbaneka di Labuan disiasat pamer harga tidak selaras

Read Time:1 Minute, 23 Second

LABUAN : Sebuah kedai serbaneka di sini disiasat selepas didapati mempamerkan harga barangan yang tidak selaras, sekali gus berpotensi mengelirukan pengguna.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa bertindak atas maklumat yang diterima daripada pengguna, melibatkan siasatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].

“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga mempamerkan harga RM2.20 pada pembungkus barang yang dipamerkan, namun semasa proses pembayaran di kaunter, harga RM2.80 terpapar selepas diimbas melalui sistem kaunter.

“Keadaan ini menunjukkan wujudnya paparan harga yang tidak selaras dan boleh mengelirukan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Sehubungan itu Junaidah berkata, peniaga berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Perenggan 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] kerana memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan.

Katanya, barangan terlibat telah disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 145 Akta 599 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Sementara itu, Junaidah berkata, KPDN Labuan mengingatkan peniaga supaya memastikan paparan harga pada barang adalah jelas, tepat dan selaras dengan harga yang dikenakan di kaunter pembayaran bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna serta tindakan undang-undang.

Katanya, KPDN Labuan turut menasihati pengguna supaya sentiasa menyemak harga barang yang dipamerkan dan harga yang dicaj di kaunter serta menyimpan resit pembelian sebagai bukti sekiranya berlaku sebarang pertikaian harga. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 22 juta rakyat terima SARA untuk semua bermula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular