Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya.
Lelaki OKU kategori ketidakupayaan pendengaran berusia 45 tahun itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dengan bantuan jurubahasa isyarat, hari ini.
Tertuduh melakukan perbuatan tersebut terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Manggatal, kira-kira jam 10 malam pada pertengahan Oktober 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA) dibaca bersama Seksyen 16(2)(a) Akta yang sama.
Bagi Seksyen 14, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.
Memandangkan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, mahkamah turut menjatuhkan hukuman tambahan penjara tiga tahun dan satu sebatan mengikut Seksyen 16(2)(a) SOACA, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berasingan.
Mengikut fakta kes, kejadian terbongkar apabila mangsa mendedahkan perkara itu kepada gurunya sebelum satu laporan polis dibuat. Susulan laporan tersebut, tertuduh ditahan dan mengaku melakukan perbuatan berkenaan terhadap anak tunggalnya.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan beliau OKU dan hanya mempunyai seorang anak untuk ditanggung.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan menegaskan bahawa tertuduh sepatutnya melindungi anak kandungnya daripada sebarang bahaya, bukannya melakukan perbuatan tersebut.
Beliau turut berhujah bahawa mangsa pastinya mengalami trauma dan kesan emosi akibat kejadian itu.



