Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: “Kenapa dia bunuh anak saya?” Itulah antara luahan pilu seorang ibu ketika memberikan Pernyataan Impak Mangsa (Victim Impact Statement) di Mahkamah Tinggi, tiga tahun selepas anaknya dibunuh oleh bekas teman lelaki di pusat beli-belah.
Datuk Aminah @ Sitti Aminah Jabarhan memberikan kenyataan di hadapan Hakim Datuk Alexander Siew How Wai selepas tertuduh, Chung King Fung @ Haider Daniel Chung Abdullah, 33, mengaku bersalah.
Tertuduh telah membunuh Nurul Ain Silien, 21, antara jam 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari pada 29 Mei 2023 di kedai Polar Ice Cream, Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini.
Mangsa ditikam sebanyak lapan kali dan doktor mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat luka tikaman berganda (multiple stab wounds).
Semasa memberi keterangan, ibu mangsa bergegar cuba mengawal emosinya dan terhenti seketika untuk menarik nafas, manakala beberapa ahli keluarga di galeri awam dilihat menitiskan air mata.
Tertuduh menundukkan kepala sepanjang ibu mangsa memberi kenyataan.
Beliau menceritakan bahawa anak bongsu mereka, Nurul Ain, yang lahir pada 13 Oktober 2001 ketika beliau berusia 42 tahun, adalah “permata” keluarga dan seorang yang ceria serta manja. Kehilangannya bukan sahaja meragut satu nyawa, malah meruntuhkan kebahagiaan dan institusi keluarga mereka.
“Kematian anak saya bukan satu kemalangan, tetapi satu perbuatan yang dirancang dengan kejam. Anak saya telah cuba menyelamatkan dirinya. Pada 28 Mei 2023, sehari sebelum dibunuh, arwah telah membuat laporan polis di Inanam menyatakan ketakutan beliau kerana sering diekori oleh tertuduh. Namun, tertuduh tidak mempedulikan undang-undang.
“Bukti menunjukkan tertuduh membeli pisau pada pagi kejadian di Jesselton Mall sebelum menyerang anak saya di tempat kerjanya.
“Yang Arif, anak saya dibunuh di tempat awam, di siang hari, ketika dia sedang mencari rezeki yang halal. Ini menunjukkan tertuduh tiada rasa takut dan tiada belas kasihan,” katanya.
Ibu mangsa juga memaklumkan kepada mahkamah trauma akibat “panggilan terakhir” dari anak mereka.
“Suami saya, iaitu bapa mangsa, adalah orang terakhir yang dihubungi oleh arwah. Pada jam 11.51 pagi hari kejadian, dia menerima mesej ‘WhatsApp’ daripada anak saya yang berbunyi “Dia ada di sini”. Mesej itu adalah jeritan pertolongan daripadanya.
“Kami bergegas dari rumah kami ke Jesselton Mall dengan harapan untuk melindunginya. Namun, apabila kami tiba, kami hanya menemui garisan kuning polis. Hati saya dan suami saya hancur apabila dimaklumkan anak saya sudah tiada.
“Sehingga ke hari ini, saya dan suami saya hidup dengan penyesalan dan trauma kerana tidak sempat sampai tepat pada masanya.
“Tertuduh bukan sahaja membunuh anak kami, dia telah membiarkan saya dan suami saya hidup dengan memori kegagalan untuk menyelamatkan nyawa anak sendiri semasa dia sangat memerlukan,” katanya diselangi tangisan.
Menurutnya lagi, keperitan mereka bertambah apabila cara mereka mengetahui kematian arwah sangat traumatik.
“Kami tidak dimaklumkan dengan cara yang bermaruah. Sebaliknya, video kejadian anak saya ditikam dan berlumuran darah telah tular (viral) di media sosial sebelum kami sempat sampai ke hospital.
“Bayangkan perasaan seorang ibu melihat detik-detik terakhir anaknya di tonton oleh ribuan orang di internet sebagai bahan tontonan umum. Ini telah meragut maruah anak saya dan maruah keluarga kami.
“Akibatnya, kami hidup dalam ketakutan bahawa video tersebut akan muncul semula. Trauma ini menyebabkan kami mengalami kemurungan, ketakutan, dan keresahan yang melampau. Kami sering terjaga malam dalam keadaan gelisah, dibayangi imej ngeri tersebut,” katanya.
Beliau menambah, beliau kenal tertuduh dan menganggapnya seperti anak sendiri, namun dikhianati.
“Saya pernah pesan sekiranya mereka tidak ada jodoh, pulangkanlah anak kami. Tetapi… kenapa dia bunuh anak saya? Separuh dari nyawa saya hilang. Tiada perkataan maaf mampu mengembalikan anak bongsu kami,” katanya.
Ibu mangsa memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa nyawa seorang wanita muda tidak boleh diambil sewenang-wenangnya.
Beliau juga memohon tertuduh membayar pampasan atas kos rawatan mental dan trauma keluarga.
“Hukuman ini tidak akan menghidupkan nyawa Nurul Ain, tetapi ia sekurang-kurangnya memberikan kami sedikit keadilan. Letakkan diri kamu di tempat kami,” katanya.
Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Chung.



