KOTA KINABALU: Seramai 500 pelajar prauniversiti termasuk seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai Program Professor@School STI 100³ Kitaran 2 Tahun 2025/2026 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK).
Program tersebut bertujuan memperkasa literasi sains, teknologi dan inovasi (STI) serta meningkatkan kesedaran berkaitan bencana alam dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Program Professor@School STI 100³ merupakan inisiatif nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyemai minat pelajar terhadap bidang sains sejak di peringkat sekolah.

Menurut beliau, penglibatan universiti dalam program itu mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemacu ekosistem STI dan rakan strategik kepada sekolah dalam pembangunan bakat STEM.
“Tumpuan turut diberikan kepada pendedahan awal berkaitan isu bencana alam, perubahan iklim dan kesiapsiagaan komuniti, khususnya dalam konteks negeri Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi pada majlis perasmian program yang berlangsung di Dewan Citra KTEKK, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Saintis Utama Program STI 100³ merangkap Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee menyampaikan perkongsian bertajuk “Bencana Alam di Sabah” yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai risiko gempa bumi, banjir dan tanah runtuh serta kepentingan langkah mitigasi dan kesiapsiagaan.
Program berkenaan turut merangkumi ceramah ilmiah, simulasi pendidikan gempa bumi, pameran sains, pengenalan program akademik serta lawatan pembelajaran ke fasiliti UMS termasuk makmal Fakulti Sains dan Teknologi, Institut Marin Borneo (IMB), Pusat U-Sains dan Perpustakaan UMS.
Pengetua KTEKK, Suhaibul Kasim berkata kerjasama dengan UMS memberi peluang kepada pelajar merasai persekitaran pembelajaran universiti serta membantu mereka membuat perancangan awal berkaitan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM.
Program Professor@School STI 100³ dijangka menjadi platform kerjasama berterusan antara universiti dan sekolah dalam melahirkan generasi muda yang celik sains dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. SABAH MEDIA



