HomeUtama150 rumah di Bukit Padang dibangunkan sebagai Kampung Botani DBKK

150 rumah di Bukit Padang dibangunkan sebagai Kampung Botani DBKK

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Kira-kira 150 buah rumah di sebuah penempatan berhampiran Taman Botani Tun Fuad Stephens, Bukit Padang, akan diurus dan dibangunkan sebagai Kampung Botani di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen DBKK dalam mentransformasikan kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan lestari di dalam bandar.

Katanya, tanah di kawasan tersebut adalah milik DBKK manakala rumah-rumah di situ dimiliki rakyat tempatan.

“Mereka yang mempunyai rumah di situ akan dibenarkan untuk terus menetap, namun perlu mematuhi garis panduan pembangunan yang ditetapkan oleh DBKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan surat pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Kampung Botani DBKK, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong

Joniston  berkata, penubuhan jawatankuasa pengurusan berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan kawasan itu dirancang secara teratur dengan penglibatan aktif komuniti setempat.

Beliau berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk menyokong agenda bandar hijau Kota Kinabalu selain memperkukuh penawaran eko-pelancongan bandar secara lebih tersusun menerusi konsep Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT).

“Kampung Botani ini akan menjadi tarikan eko-pelancongan dalam bandar dan sebahagian daripada pelan komprehensif DBKK untuk membangunkan lebih banyak produk pelancongan di Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu juga akan memperkasa penduduk sebagai pihak berkepentingan dalam memelihara alam sekitar selain menjana peluang ekonomi baharu.

Dalam pada itu, Joniston berkata, dengan peningkatan jumlah kapal persiaran serta pelancong yang singgah dalam tempoh singkat di Kota Kinabalu, bandar raya ini memerlukan lebih banyak produk pelancongan dalam bandar.

“Kita perlu memastikan terdapat tarikan yang sesuai untuk pelawat walaupun mereka berada di sini hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Labuan perketat pemantauan menjelang perayaan, peniaga runcit dikompaun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular