KOTA KINABALU: Seramai 355 mangsa banjir melibatkan dua daerah di Sabah dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan satu Pusat Pemindahan Kekal (PPK) setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa terjejas membabitkan 149 keluarga di daerah Sipitang dan Beaufort.
Di Beaufort, seramai 154 mangsa daripada 53 keluarga kini berlindung di PPK Selagon. Jumlah itu dijangka meningkat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan berterusan.
Terdahulu, Beaufort diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 9 pagi tadi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, Nazri Ajun.
Sementara itu, di Sipitang, seramai 201 mangsa daripada 96 keluarga dipindahkan ke dua PPS yang diaktifkan sejak semalam.
Dua PPS berkenaan ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan bagi memastikan keselamatan. – SABAH MEDIA



