HomeUtamaTarikh melihat anak bulan Ramadan 17 Februari ini

Tarikh melihat anak bulan Ramadan 17 Februari ini

Read Time:1 Minute, 12 Second

KUALA LUMPUR : Tarikh melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada petang Selasa, 17 Februari 2026, bersamaan 29 Syaaban 1447H.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan telah diperkenankan untuk melaksanakan cerapan rukyah di 29 lokasi di seluruh negara pada petang berkenaan.

Antara lokasi yang terlibat ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; serta beberapa lokasi di Selangor termasuk Bukit Melawati, Bukit Jugra dan Sabak Bernam.

Turut menjadi lokasi cerapan ialah Pantai Pasir Panjang di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang; beberapa stesen cerapan di Kedah termasuk Kampung Pulau Sayak, Langkawi dan Menara Alor Setar; serta beberapa lokasi di Terengganu dan Kelantan.

Di Sabah dan Sarawak, cerapan akan dijalankan di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung dan Pusat Falak Bintulu di Sarawak, manakala di Sabah melibatkan Balai Cerap Al-Biruni, Putatan serta Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.

Selain itu, lokasi lain termasuk Bukit Tanjong Batu dan Gunung Brinchang di Pahang; Menara 188 Kuantan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa kaedah penetapan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan gabungan rukyah dan hisab.

Pengumuman rasmi tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui siaran media pada malam 17 Februari ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa edar syabu 16kg

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular