HomeUtamaBapa, bapa saudara dan abang ipar dipenjara, disebat dalam tiga kes seksual...

Bapa, bapa saudara dan abang ipar dipenjara, disebat dalam tiga kes seksual berasingan

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA MARUDU: Tiga lelaki, termasuk seorang bapa kandung, dijatuhi hukuman penjara antara 14 hingga 30 tahun serta sebatan atas tiga kesalahan seksual berasingan terhadap mangsa yang mempunyai pertalian dengan mereka.

Ketiga-tiga tertuduh masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen A. Akhiruddin Acho pada Khamis.

Dalam kes pertama, seorang bapa berusia 46 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 12 sebatan kerana merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 21 Disember 2024 kira-kira jam 10.46 malam di sebuah kampung di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam kes kedua, seorang lelaki berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 30 tahun dan 10 sebatan atas dua pertuduhan merogol anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan ke atas lelaki itu bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh telah merogol gadis berusia 15 tahun itu dua kali pada 25 Julai 2023 jam 11 pagi dan 2 petang di semak di simpang ke sebuah kampung, di sini.

Dalam kes ketiga, seorang lelaki berusia 45 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya yang berusia 16 tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana menyentuh bahagian sulit mangsa pada jam 10 malam, 8 Mei 2018, di tepi padang sekolah di sini.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tambahan penjara dua tahun dan dua sebatan berikutan hubungan kekeluargaan antara tertuduh dan mangsa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin hadir mengendalikan pendakwaan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun  Lomudin dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak serta ahli keluarga sendiri.

Beliau menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan tegas sehingga pelaku dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

RELATED ARTICLES
Utama

Laporan polis berhubung syarikat perlombongan emas di Sabah diklasifikasikan NFA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular