KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini perlu sentiasa menghayati dan memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan umat yang progresif, makmur dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran adalah antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam usaha mengajak seluruh umat Islam untuk sentiasa menghayati dan memartabatkan al-Quran.
Katanya, penganjuran berterusan majlis keagamaan ini adalah iltizam kerajaan untuk melihat pembangunan spiritual dan fizikal berjalan seiringan bagi memastikan keseimbangan antara urusan duniawi dan ukhrawi bagi seluruh umat Islam.

“Acara tahunan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri versi kali ini, adalah mukaddimah kepada langkah seterusnya program bercorak mendaulatkan Islam di awal fasa penggal kedua pemerintahan Kerajaan Negeri pada hari ini.
“Justeru, kelangsungan penganjuran majlis ini, bukanlah sekadar menjayakan tradisi keagamaan tahunan, tetapi ia merupakan komitmen dan kesungguhan di pihak Kerajaan dalam menjulang syiar Islam, agama rasmi negara kita yang tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1447H/2026M di Dewan Saadah di Wisma MUIS, di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Hajiji berkata, majlis ini juga menjadi platform untuk melahirkan golongan Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang bukan sahaja cemerlang dari sudut bacaan dan hafazan, tetapi menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
“Justeru, kerajaan komited memudahcara pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan agama Islam, institusi tahfiz dan program penghayatan Islam sebagai langkah berterusan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan progresif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menekankan aspek Kelestarian Hijau ke dalam Tiga Teras Pelan Pembangunan SMJ 2.0, iaitu di bawah Teras J, yang merangkumi Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, demi keselamatan dan kesejahteraan negeri dan rakyat yang berkekalan.
“Dalam kitab suci al-Quran sendiri menerusi ayat 77 Surah al-Qasas, turut menekankan mengenai larangan berbuat kerosakan di muka bumi. Justeru, kita mengambil iktibar daripadanya dengan menekankan aspek Kelestarian Hijau ke dalam Tiga Teras Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
“Dalam aspek Kelestarian Hijau ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM672.05 juta bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan komitmen mencapai 30 peratus kawasan perlindungan sepenuhnya (Total Protected Areas) menjelang tahun 2030,” katanya.



