HomeUtamaYayasan PETRONAS sumbang pek perayaan kepada 150 keluarga di Kudat dan Labuan

Yayasan PETRONAS sumbang pek perayaan kepada 150 keluarga di Kudat dan Labuan

Read Time:1 Minute, 49 Second

KUDAT: Seramai 150 penerima di Kudat dan Labuan menerima pek makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi program Memacu Kehidupan anjuran Yayasan PETRONAS.

Daripada jumlah itu, 100 keluarga di Kudat dan 50 keluarga di Labuan menerima sumbangan mengandungi barangan keperluan asas serta bahan tradisional Tahun Baharu Cina bagi membantu meringankan perbelanjaan isi rumah sepanjang musim perayaan.

Bagi Chong Kong Sing, 76, dari Kampung Landung Ayang, bantuan itu menjadikan sambutan tahun ini lebih bermakna.

“Saya amat bersyukur atas bantuan ini. Bagi saya, Tahun Baharu Cina ialah masa untuk bersama keluarga. Hari ini, kami turut merasai semangat kebersamaan sebagai satu komuniti walaupun datang daripada latar belakang berbeza. Terima kasih kepada PETRONAS dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah,” katanya.

Chong Vui Ken, 72, dari Kampung Pangaraban, turut melahirkan penghargaan atas sumbangan diterima.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JPKA dan PETRONAS. Bantuan ini menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina kami lebih istimewa,” katanya.

Seorang lagi penerima, Chai Pin Kong, 70, dari Taman Sri Kapor, berkata bantuan itu tiba tepat pada masanya ketika beliau membuat persiapan menyambut perayaan bersama adiknya.

“Tahun ini tiada perhimpunan besar, hanya kami berdua berkongsi hidangan ringkas. Bantuan ini memudahkan persiapan dan membolehkan kami menyambut perayaan secara sederhana tetapi penuh makna,” katanya.

Pengagihan di Kudat dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sebagai rakan pelaksana, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan menyokong pelaksanaan di Labuan.

Selain pek makanan, para penerima turut menerima biskut perayaan yang disediakan oleh usahawan di bawah program Memperkasakan Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) kendalian Yayasan PETRONAS, yang memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan dan pembangunan keupayaan usahawan mikro tempatan.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, berkata inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan Yayasan PETRONAS dalam memperkasa komuniti, khususnya pada musim perayaan.

“Tahun Baharu Cina melambangkan kebersamaan dan keharmonian. Melalui program Memacu Kehidupan, kami berharap dapat membawa kegembiraan kepada keluarga yang meraikan, selain menegaskan komitmen kami terhadap kesejahteraan komuniti,” katanya.

Penyerahan pek makanan di Kudat berlangsung pada 11 Februari manakala pengagihan di Labuan diadakan pada 13 Februari.

Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada agenda impak sosial Yayasan PETRONAS yang turut merangkumi inisiatif dalam bidang pendidikan dan kelestarian alam sekitar, sekali gus memperkukuh daya tahan komuniti serta memacu kemajuan sosioekonomi.

RELATED ARTICLES
Utama

1,910 kes kebakaran direkodkan di Sabah tahun lalu, kerugian cecah RM145...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular