HomeUtamaBuku “Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu” tawar perspektif sejarah politik negeri

Buku “Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu” tawar perspektif sejarah politik negeri

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Buku “Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu” menawarkan pemahaman bernilai mengenai sejarah politik negeri ini daripada perspektif tokoh kewartawanan terkemuka, Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penulisan buku sejarah merupakan usaha penting kerana ia membolehkan sesuatu peristiwa dilihat daripada pelbagai sudut serta menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir sesuatu pemerhatian.

“Buku ini tepat pada masanya kerana menawarkan perspektif yang dituturkan oleh Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel, seorang tokoh kewartawanan yang terkenal dalam sejarah Sabah,” katanya pada majlis pelancaran buku itu di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Menurut Hajiji, tajuk buku berkenaan sendiri mengajak masyarakat berfikir secara kritis dan menyedari bahawa masih banyak aspek sejarah politik Sabah yang belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai.

“Ia menekankan keperluan kepada dokumentasi yang lebih menyeluruh serta wacana awam yang lebih meluas,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk James Sarda dan Datuk Dr Danny Wong atas usaha menerbitkan buku tersebut, sambil menyatakan keyakinan bahawa karya itu akan menjadi rujukan penting sama ada sebagai bacaan tambahan mahupun perspektif alternatif mengenai sejarah politik Sabah.

Hajiji berkata, Sabah memerlukan lebih banyak karya seumpama itu, khususnya ketika isu-isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sering dibincangkan.

“Masih banyak peristiwa lampau yang perlu difahami dengan lebih jelas kerana kesannya masih dirasai hingga ke hari ini,” katanya.

Buku berkenaan memuatkan pandangan, pemerhatian dan catatan Allahyarham Fauzi mengenai pelbagai isu serta kontroversi melibatkan Sabah, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia, yang sebahagiannya masih relevan dan terus menjadi perbincangan.

Allahyarham Fauzi dikenali sebagai wartawan sepenuh masa pertama Sabah pada tahun 1954 ketika negeri ini masih dikenali sebagai Borneo Utara British.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dengan beberapa organisasi media utama termasuk Sabah Times, Sabah Times–North Borneo News, Kinabalu Times dan Kinabalu Sabah Times.

Beliau juga menulis ruangan Ahad untuk Daily Express dengan menganalisis isu-isu berkaitan Sabah serta perkembangan nasional yang memberi kesan kepada negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Shell perbaharui komitmen laksana program latih juruteknik minyak dan gas Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular