HomeUtamaPelajar Ekonomi dan Perniagaan dirai dalam Majlis Graduasi STPM

Pelajar Ekonomi dan Perniagaan dirai dalam Majlis Graduasi STPM

Read Time:1 Minute, 18 Second

KUNDASANG: Seramai 48 pelajar aliran Ekonomi dan Perniagaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau diraikan dalam Majlis Graduasi di sini.

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, disiplin dan ketekunan para pelajar sepanjang menempuh pengajian di peringkat Tingkatan Enam.

Walaupun keputusan rasmi STPM 2025 masih belum diumumkan, penganjuran majlis ini mencerminkan pengiktirafan awal terhadap usaha gigih mereka menamatkan sesi persekolahan.

Majlis yang berlangsung di Hotel Perkasa itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. Beliau diwakili oleh Setiausaha Politik kepada Kementerian Kewangan, Johari Suhaimin.

Dalam majlis itu, Johari menegaskan bahawa STPM merupakan salah satu laluan pendidikan yang berkualiti, diiktiraf serta berprestij, setara dengan program pra-universiti antarabangsa.

“Laluan ini membuka peluang yang luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam dan swasta, kolej, politeknik serta institusi latihan profesional sama ada di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Tambah beliau, langkah ini juga selari dengan semangat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan keadilan sosial dan peluang saksama dalam pendidikan, agar tiada anak Sabah yang tercicir daripada arus kemajuan, terutama di era digital.

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf pelajar Tingkatan Enam sebagai kumpulan berpotensi tinggi yang bakal menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi negeri dan negara. Justeru, kejayaan dalam STPM perlu dimanfaatkan sebagai batu loncatan ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi,” ujarnya.

Johari berharap semua graduan STPM 2025 serta kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan, seiring aspirasi SMJ 2.0.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Ranau, Faridah Raimin dan Penolong Kanan Tingkatan Enam, Jailey Paidi.

RELATED ARTICLES
Utama

Gotong-royong Tanah Perkuburan Islam Printing Kepayan satukan komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular