HomeUtamaOps Selamat 2026 : Enam kawasan 'hotspot' kemalangan jadi tumpuan di...

Ops Selamat 2026 : Enam kawasan ‘hotspot’ kemalangan jadi tumpuan di Sabah

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sebanyak enam daerah dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ kemalangan jalan raya di negeri ini sempena pelaksanaan Ops Selamat 2026 khususnya sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, antara daerah dikenal pasti ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Ranau dan Keningau.

Katanya, saban tahun kawasan berkenaan mencatatkan peningkatan kes kemalangan khususnya ketika musim perayaan.

“Antara faktor utama kemalangan di kawasan berkenaan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri. Kadang-kadang faktor jalan menyumbang kepada kemalangan, tetapi yang paling ketara ialah sikap pemandu seperti memandu laju, tidak sabar dan kurang bertimbang rasa.

“Keselamatan di jalan raya bergantung kepada diri sendiri. Jika kita tidak berhati-hati, risiko bukan sahaja kepada diri kita tetapi juga pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Ops Selamat Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Sabtu.

Azhar berkata, Ops Selamat 2026 yang bermula hari ini hingga 20 Februari akan menyaksikan pemantauan dan rondaan dipertingkatkan di laluan dikenal pasti, termasuk operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, operasi itu bertujuan bagi memastikan keselamatan masyarakat di jalan raya dan juga keselamatan rumah yang ditinggalkan ketika pulang bercuti.

“Kita minta kerjasama orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya, membuat pemeriksaan kenderaan sebelum perjalanan, memastikan keadaan fizikal dan kesihatan dalam keadaan baik serta berhenti berehat jika mengantuk,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyertai program Volunteer Smartphone Patrol (VSP), yang membolehkan pemilik rumah memaklumkan kepada pihak polis untuk rondaan pemantauan ketika mereka tiada di rumah.

“Apabila menjadi ahli VSP, masyarakat boleh memohon kepada pihak polis untuk meronda rumah sepanjang cuti. Ini peluang terbaik memastikan kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

“VSP juga penting sebagai saluran menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, dadah, kesesakan lalu lintas dan lain-lain untuk tindakan segera pihak polis,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Walkabout perkukuh jalinan kerajaan-rakyat, respon isu lebih pantas – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular