Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Tamu Besar sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Segama, di sini.
Tamu yang dibuka seawal jam 2 petang sehingga 1 pagi itu menyaksikan lebih 600 gerai dibuka untuk pengunjung dengan pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman yang dijual.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong.
Chan ketika ditemui berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri apabila rakyat pelbagai kaum di negeri ini dapat meraikan perayaan bersama-sama.
“Seperti biasa, setiap tahun DBKK menganjurkan sesi walkabout di Jalan Segama kerana kawasan ini sejak puluhan tahun lalu sudah terkenal dengan tamu sempena Tahun Baharu Cina, dan ia tidak pernah putus,” katanya.

Beliau berkata, pasar itu bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat Cina, tetapi dirai bersama semua kaum, menjadikannya simbol perpaduan budaya di Sabah.
Menurutnya, selain Jalan Segama, tamu seumpama itu turut diadakan di Foh Sang melibatkan lebih 70 gerai peniaga.
“Segama tetap perlu diteruskan kerana ia manifestasi baik bagi musim budaya dan festival, di mana semua masyarakat menyambut bersama.

“Tidak lama lagi, apabila Ramadan tiba, orang Cina juga akan berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli masakan sempena Ramadan,” katanya.
Beliau berharap sambutan tahunan ini memberi keberkatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, di samping meningkatkan efisiensi kerja dan pendapatan masyarakat tempatan. – SABAH MEDIA



