HomeUtamaJelajah Kebun Dapur perkukuh sekuriti makanan negeri

Jelajah Kebun Dapur perkukuh sekuriti makanan negeri

Read Time:2 Minute, 30 Second

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Inisiatif Kebun Dapur yang dicetuskan kementeriannya merupakan antara langkah strategik dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negeri serta memperkasa ekonomi isi rumah, khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, program itu mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penghasilan makanan sendiri meliputi penanaman sayur-sayuran dan herba, penternakan kecil serta perikanan air tawar berskala isi rumah.

Menurutnya, amalan kebun dapur sebenarnya telah lama dipraktikkan dan kini diteruskan secara lebih tersusun sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuhkan sekuriti makanan serta memperkasa masyarakat melalui pendekatan pertanian berskala kecil yang praktikal, mudah dilaksanakan dan memberi impak segera.

“Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan kos sara hidup, keupayaan isi rumah untuk menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan adalah satu langkah yang bijak dan strategik,” katanya pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini, pada Ahad.

Jamawi berkata, sebahagian hasil kebun dapur juga boleh dipasarkan bagi menjana pendapatan tambahan. Sehingga kini, sebanyak 16 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) telah diwujudkan dan sembilan lagi akan dilengkapkan bagi meliputi semua kawasan Parlimen di negeri ini.

Beliau berkata, pendekatan kebun dapur membolehkan keluarga menanam sayur-sayuran serta tanaman jangka pendek secara terancang di samping menjalankan penternakan ikan secara kecil-kecilan.

“Sekali gus ia dapat mengurangkan perbelanjaan harian dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada peserta program berkenaan.

Selain itu, beliau turut menghargai komitmen semua pihak yang terlibat termasuk jawatankuasa di peringkat kementerian, Pejabat Daerah Tuaran, jabatan serta agensi di bawah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, pihak swasta, komuniti setempat dan individu yang menjayakan inisiatif tersebut.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, inisiatif kedua di bawah Kebun Dapur ialah Program Mentor-Mentee yang melibatkan 18 anak muda berusia 40 tahun ke bawah yang dipilih sebagai mentor.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua mentor yang dilantik serta usahawan pertanian yang menyertai program berkenaan.

“Mentor-mentor ini akan membantu membimbing dan memajukan anak muda yang berminat menceburi kebun dapur serta bidang pertanian,” katanya.

Menurutnya, usaha itu jelas menunjukkan komitmen padu kerajaan dalam memperkasa ekonomi isi rumah melalui aktiviti pertanian berskala kecil yang mudah dilaksanakan, berimpak cepat dan berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan.

Jamawi turut memaklumkan bahawa beberapa agensi kewangan menawarkan kemudahan pinjaman kepada golongan belia dan usahawan pertanian, termasuk Perbadanan Pinjaman Sabah yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sifar atau rendah, selain kemudahan daripada Yayasan Usaha Maju dan Agrobank yang mengenakan kadar faedah serendah tiga peratus.

Selain itu, pendekatan ketiga ialah membawa usahawan serta industri makanan seperti pengusaha keropok amplang dan sambal ke arah pendigitalan perniagaan.

Menurutnya, ramai usahawan dan selebriti di Semenanjung Malaysia berjaya memasarkan produk secara digital melalui platform seperti TikTok dan kaedah sama boleh dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

“Saya membawa diri saya sebagai seorang petani, penternak dan pekebun. Saya juga mahu pegawai-pegawai saya mempunyai semangat yang sama dan lebih peka melihat keperluan penduduk setempat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 100 warga asing dijatuhi hukuman atas kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular