HomeUtamaIkan pelian selamat untuk dimakan - Jamawi

Ikan pelian selamat untuk dimakan – Jamawi

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Ikan pelian atau kelah yang diternak di kawasan tagal khususnya di pedalaman Sabah disahkan selamat untuk dimakan meskipun sebelum ini dilaporkan berlaku kematian ikan akibat serangan penyakit Hoi Herpes Virus (KHV).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya telah menerima laporan kematian ikan kelah dalam tempoh satu hingga dua bulan lalu membabitkan kawasan Tambunan, Keningau dan Tenom.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan telah mengambil sampel dan menjalankan siasatan makmal yang mengesahkan punca kejadian adalah akibat virus.

“Pegawai-pegawai kita telah berkampung di kawasan terjejas sejak Disember lalu.

“Setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh kira-kira dua bulan dan keadaan adalah terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media di sini pada Isnin.

Jamawi berkata, beberapa tindakan saintifik telah dilaksanakan termasuk pensampelan, analisis makmal serta langkah kawalan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian turut mengarahkan supaya tiada pemindahan ikan dari kawasan pedalaman terlibat ke lokasi lain bagi mengelakkan risiko jangkitan merebak.

“Ikan-ikan ini adalah spesies bernilai tinggi dan menjadi tarikan utama sistem tagal.

“Kita tidak mahu ia menjejaskan sumber pendapatan komuniti atau menyebabkan kepupusan,” katanya.

Mengulas kemungkinan virus berpunca dari luar negara, beliau berkata pihaknya tidak menolak faktor aliran sungai rentas sempadan, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi dibuat.

Menurutnya, aliran Sungai Padas yang berpunca dari Kalimantan dan bersambung ke Sungai Pagalan sehingga ke kawasan Keningau dan Tambunan berkemungkinan menjadi laluan semula jadi, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Tahun lalu virus yang sama dilaporkan berlaku di Kalimantan, tetapi kita belum mengesahkan punca sebenar. Kajian masih diteruskan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ramadan Jazz satukan komuniti, tonjol keharmonian Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular