HomeUtamaLebih 100 warga asing dijatuhi hukuman atas kesalahan imigresen

Lebih 100 warga asing dijatuhi hukuman atas kesalahan imigresen

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Seramai 109 warga asing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Daripada jumlah itu, 100 individu didakwa memasuki Sabah tanpa pas, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Seramai 98 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan, manakala dua individu lagi didenda RM3,000 atau penjara empat bulan kerana gagal membayar denda.

Dalam mahkamah yang sama, tujuh lagi individu mengaku tinggal di Sabah melebihi tempoh yang dibenarkan.

Bagi kesalahan ini, empat daripada mereka dipenjara 12 bulan, dua orang enam bulan, manakala seorang didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi satu kes berasingan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina dipenjara 10 bulan kerana memasuki negara tanpa pas dan masuk semula ke negeri ini tanpa pas yang sah selepas mereka dihantar pulang ke negara mereka.

Mahkamah memerintahkan tertuduh lelaki dikenakan satu sebatan.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan.

Kesalahan ini dibawah Seksyen 36 Akta Imigresen yang memperuntukkan denda masimum RM10, 000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan rotan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan agar semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Imigresen, iaitu Norhayati Abdul Hari, Chin Tze Mee dan Kamrul Md Yusof, dalam beberapa siri sebutan kes secara berasingan bulan ini di hadapan Hakim Hurman Hussain.

Kesemua tertuduh ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu, Sipitang, Ranau, Keningau, dan Tenom.

RELATED ARTICLES
Utama

Ramadan Jazz satukan komuniti, tonjol keharmonian Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular