KOTA KINABALU: Sebanyak 150 buah motosikal dan lapan kenderaan pacuan empat roda menyertai Konvoi Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Sabah yang dilepaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini pada Isnin.
Konvoi anjuran bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Skuad Anti Dadah Sabah, penghantar makanan foodpanda dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan menjelajah ke seluruh Sabah sehingga September ini.

Program berkenaan bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta menggerakkan usaha bersepadu ke arah merealisasikan Sabah sebagai negeri bebas dadah.
Jelajah itu dijadual berakhir pada 6 September di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Sabah Moto Day 9.0 yang menghimpunkan komuniti permotoran dari seluruh negeri.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan replika cek berjumlah RM531,350 sebagai sumbangan caruman kerajaan negeri kepada KWSP untuk 10,627 penunggang e-hailing di Sabah sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan pekerja ekonomi gig.



