KOTA KINABALU: Usaha tersusun perlu diambil bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi Sabah sebagai destinasi perkhemahan dan aktiviti luar, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Joniston Bangkuai.
Beliau menyarankan Persatuan Perkemahan dan Karavan Sabah menerajui usaha itu dengan memanfaatkan keanggotaannya dalam Perekutuan Perkemahan Dunia serta berkerja rapat dengan pengusaha pelancongan luar bandar.
“Saya difaham Persatuan Perkemahan dan Karavan dengan kerjasama Pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) telah mengenal pasti lebih daripada 200 tempat yang sesuai dibangunkan sebagai tapak perkemahan di seluruh Sabah,” katanya.
Joniston yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata kemunculan Sabah sebagai hab CoBT didorong oleh penglibatan aktif masyarakat tempatan dalam membangunkan tarikan pelancongan di seluruh negeri.
Menurutnya, peningkatan penyertaan komuniti di setiap daerah membolehkan inisiatif berskala kecil dan besar saling melengkapi serta memperkaya penawaran pelancongan luar bandar.
“Ada yang mungkin melihatnya sebagai persaingan, tetapi kita juga harus melihat CoBT sebagai saling melengkapi, di mana komuniti luar bandar menawarkan pengalaman yang berbeza kerana landskap atau persekitaran semula jadi dan cara hidup komuniti berbeza dari satu daerah ke daerah lain.
“Dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027, kita memerlukan lebih banyak produk pelancongan baharu untuk menarik pelawat dan memperkayakan pengalaman mereka,” katanya.

Joniston berkata demikian ketika merasmikan Tampasak Eko-Camp dan Tagal Sondoton–Poimbolutan di Kampung Tampasak dan Kampung Babagon, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat Moyog Frankie Roy Benedict yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog Datuk Donald Mojuntin dan Pengerusi Eko-Pelancongan Tampasak Winnie Joannes.
Joniston berkata, STB melihat CoBT sebagai komponen penting dalam pembangunan pelancongan negeri, khususnya dalam memperkasa komuniti luar bandar.
“STB mempunyai Unit Produk yang memantau semua produk dan inisiatif CoBT, memastikan ia selaras dengan piawaian, selain memberi sokongan berterusan kepada komuniti terlibat.
“Pihak STB juga menyediakan latihan dan program upskilling yang diperlukan untuk memperkasakan komuniti, membolehkan mereka mengurus dan meningkatkan produk pelancongan mereka sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua agensi, rakan strategik dan komuniti supaya terus bekerjasama dengan STB bagi memastikan pembangunan CoBT dapat dilaksanakan secara mampan.
“Kerjasama berterusan penting bagi memastikan usaha ini memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan industri pelancongan negeri,” katanya.




