Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sabah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila meraikan ketibaan pelawat di dua pintu masuk utama negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira 1,400 pelancong dari Singapura, Incheon Korea Selatan serta penerbangan domestik dijangka tiba pada Selasa dan disambut dalam suasana penuh meriah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, program sambutan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap pelawat menerima pengalaman pertama yang positif setibanya di Sabah.
Beliau berkata, selain Kota Kinabalu, program sama turut diadakan di Tawau pada sebelah pagi yang menyaksikan kira-kira 400 pelancong dari China termasuk Shanghai serta pelawat tempatan disantuni.
“Objektif utama program ini adalah untuk menyambut tetamu dengan penuh keramahan dan kemesraan, selaras dengan imej rakyat Sabah yang terkenal dengan sikap mesra serta hospitaliti tinggi.

“Tambahan pula, sambutan ini diadakan bersempena Tahun Baharu Cina yang merupakan antara perayaan utama dalam kepelbagaian budaya di negeri dan negara kita,” katanya.
Hadir sama menyambut ketibaan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah Haryanty Abu Bakar
Program berkenaan merupakan inisiatif yang dilaksanakan serentak di beberapa pintu masuk utama negara sebagai sebahagian strategi memperkukuh penjenamaan destinasi sempena VM2026.
Di KKIA, para pelawat diraikan dengan pemberian limau mandarin sebagai simbol tuah dan kesejahteraan, selain cenderamata rasmi VM2026.
Sambutan turut dimeriahkan dengan upacara menggaul Yee Sang, persembahan pakaian tradisional pelbagai kaum serta tarian singa yang membangkitkan suasana perayaan.
Jafry berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelancongan dan pemain industri membuktikan kesungguhan semua pihak dalam memperkasa sektor pelancongan sebagai antara penyumbang utama ekonomi Sabah.
Beliau yakin usaha berterusan itu akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk memilih Sabah sebagai destinasi pilihan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri pelancongan negeri menjelang 2026. – SABAH MEDIA



