KINABATANGAN: Hospital Kinabatangan beroperasi dengan hanya sembilan pegawai perubatan termasuk pengarah hospital sejak November 2025 susulan perpindahan keluar beberapa pegawai tanpa penggantian serentak.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan mengakui pihaknya kini berdepan cabaran pengoperasian yang signifikan akibat kekurangan pegawai perubatan yang ketara.
“Pada Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menawarkan sembilan perjawatan tetap bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Walau bagaimanapun, hanya seorang pegawai sahaja yang melapor diri, namun pegawai berkenaan kini sedang mengikuti program kepakaran, justeru tidak dapat bertugas di Hospital Kinabatangan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat susulan artikel yang disiarkan oleh CodeBlue bertarikh 12 Februari 2026 bertajuk “Over 70% Dangerous Doctor Deficit At Kinabatangan Hospital Dr Tachdjian”.
Menurut JKNS, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rawatan serta mengurangkan beban tugas petugas sedia ada, JKNS bersama Hospital Kluster Sandakan telah melaksanakan beberapa langkah segera.
Antaranya, empat pegawai perubatan dari Hospital Duchess of Kent (HDOK), Hospital Beluran dan Hospital Lahad Datu dimobilisasikan secara berkala ke Hospital Kinabatangan bagi mengimbang jumlah petugas kepada sekitar 10 orang pada satu-satu masa.
Selain itu, kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kinabatangan membolehkan penempatan dua pegawai perubatan tambahan khusus membantu operasi Jabatan Pesakit Luar sejak November lalu hingga kini.
Pihak pengurusan hospital turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap pengagihan tugas bagi memastikan perkhidmatan di zon kritikal seperti Unit Kecemasan, wad dan Jabatan Pesakit Luar terus beroperasi dengan selamat dan terkawal.
JKNS berkata pihaknya juga berusaha mengekalkan bilangan minimum pegawai perubatan.
“JKNS akan memastikan bilangan pegawai perubatan kekal sekitar 10 orang sehingga ambilan baharu pegawai perubatan kontrak atau tetap dilaksanakan,” katanya.
Pihak JKNS memandang serius situasi yang dihadapi Hospital Kinabatangan dan merakamkan penghargaan atas dedikasi serta komitmen tinggi para petugas yang terus berkhidmat dalam keadaan kekangan sumber manusia.
“Keutamaan adalah memastikan keselamatan dan kualiti rawatan pesakit sentiasa terpelihara. JKNS memohon kerjasama dan kefahaman orang ramai terhadap situasi semasa serta sokongan berterusan kepada petugas barisan hadapan sementara usaha pengisian jawatan tetap sedang dipergiatkan.”




