PAITAN: Pemasangan perkhidmatan internet satelit Starlink dan penyediaan logistik dipercepatkan bagi memastikan mangsa banjir terjejas di Paitan terus mendapat bantuan dan komunikasi kritikal.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata banjir kali ini disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah kawasan Sugut, melibatkan 87 kampung.
“Sehingga kini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa.
“Sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd (Sabah Net) untuk menyelaras dan mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung terjejas, bagi memudahkan penyelarasan bantuan dan komunikasi kritikal.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.
Menurut James, langkah penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik ini amat penting dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan yang sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih,” tambahnya.





