KOTA KINABALU : Langkah Kerajaan Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) selain menyalurkan biasiswa kepada pelajar terlibat disifatkan sebagai satu perkembangan positif dalam memperkukuh sistem pendidikan inklusif di negeri ini.
Salah seorang penerima biasiswa Kerajaan negeri, Philia Ku Ying Ni, 20, mengakui gembira dan bangga selepas menjadi antara penerima bantuan bagi pelajar yang menduduki UEC di Sabah.
Beliau yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Kian Kok berkata, bantuan tersebut amat bermakna khususnya kepada pelajar sekolah bukan kerajaan yang sebelum ini perlu menanggung kos persekolahan yang lebih tinggi.
“Sebagai pelajar di sekolah bukan kerajaan, kami perlu membayar yuran dan pelbagai kos lain sepanjang tempoh persekolahan.
“Bantuan ini sangat membantu meringankan beban kewangan dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan ibu bapa,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pengiktirafan UEC yang membolehkan pelajar memohon bantuan kewangan seperti biasiswa negeri membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Kewartawanan Media Cina di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long berkata, peluang tersebut memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.
“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana Kerajaan Sabah menerima UEC dan memberi peluang kepada kami untuk mendapat bantuan. Ini membuktikan usaha dan pencapaian pelajar UEC juga dihargai,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar Kerajaan Negeri Sabah dapat meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar sepertinya secara konsisten pada masa hadapan.
“Isu pengiktirafan UEC sudah lama dibincangkan dan masih menjadi topik penting hingga hari ini. Jika bantuan ini dapat diteruskan, ia bukan sahaja membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran, malah membuka peluang kepada pelajar cemerlang untuk kembali berbakti kepada negeri Sabah.
“Pemberian biasiswa ini bukan sekadar satu bentuk bantuan kewangan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan modal insan berkualiti yang mampu membantu dan memperkukuhkan pembangunan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi penerima Noah Liew Ee Ahn, 20, yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan di TAR UMT Sabah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas peluang dan sokongan yang diberikan kepada pelajar aliran berkenaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, peluang yang diberikan oleh Kerajaan negeri amat bermakna dan membuka ruang lebih luas kepada pelajar UEC untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteru Dtauk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah kerana memberi peluang kepada pelajar UEC seperti saya untuk melanjutkan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, sokongan tersebut bukan sahaja memberi motivasi kepada pelajar, malah meningkatkan keyakinan diri untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
“Saya berasa sangat bersyukur dengan peluang ini. Saya berharap kerajaan negeri akan terus berusaha supaya lebih ramai pelajar UEC di Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian ke universiti, bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara,” ujarnya. – SABAH MEDIA



