HomeUtamaPemuda Gagasan Rakyat tegas tolak tuntutan Filipina terhadap Sabah

Pemuda Gagasan Rakyat tegas tolak tuntutan Filipina terhadap Sabah

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memandang serius kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berhubung tuntutan semula terhadap Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim berkata, pihaknya tegas menolak sebarang tuntutan oleh Filipina yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.

Beliau berkata, Sabah merupakan sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan ini telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.

“Pendirian ini selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.

“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Azrul berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini.

Katanya, dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara.

Menurutnya lagi, Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi.

“Pemuda Gagasan Rakyat kekal komited untuk terus menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.

“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ibu bapa perlu pastikan anak jauhi kawasan terjejas banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular