KOTA KINABALU : Ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing susulan kejadian banjir yang melanda beberapa buah daerah di Sabah ketika ini.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Sabah ialah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ketika ini sebanyak tiga daerah dilaporkan dilanda banjir iaitu di Pitas; Paitan dan Tawau.
“Justeru saya menasihatkan kepada semua ibu bapa agar sentiasa memastikan anak-anak agar tidak ke tempat berlakunya banjir.

“Sudah tentu ini adalah bagi mengelakkan daripada bahaya dan bencana. Saya juga berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menyegerakan segala bantuan kepada mangsa-mangsa khususnya untuk sekolah yang terlibat dengan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Prasekolah Pendidikan Khas di Kota Kinabalu di sini pada Isnin.
Arif berkata, bantuan kepada mangsa banjir perlu disegerakan agar dapat memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, serta sesi persekolahan dapat dilaksana dengan lancar.
Majlis itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin.
Terdahulu, sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 4,348 orang mangsa melibatkan 1,774 keluarga yang terjejas banjir ditiga daerah di Sabah masih berlindung di 32 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang diaktifkan. – SABAH MEDIA



