Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan dua individu yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 hingga 2023 untuk membela diri.
Rahman Burijin, 44, dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45, diperintahkan membela diri pada 9 hingga 13 Mac.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Lim Hock Leng selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes terhadap tertuduh.
Rahman dan Jaisalfian didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
Mereka adalah antara 15 individu yang didakwa berkaitan kes ‘Geng Upik’. Daripada jumlah itu, 13 telah mengaku bersalah, termasuk ketua kumpulan, Datuk Maslan Sani, 42.
Seramai 13 orang telah mengaku bersalah termasuk ketua kumpulan, Datuk Maslan Sani, 42.
Maslan dan Zulkahar Dusing, 30, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu.
Manakala 11 tertuduh lain masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif membantu kumpulan jenayah terancang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Nur Ainaa Ridzwan.
Rahman dan Jaisalfian masing-masing diwakili oleh peguam Jakariya Ab Jalil dan Muhamad Amirul Amin.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/07/16/ahli-geng-upik-dipenjara-lima-tahun-dua-lagi-sambung-bicara/



