HomeUtamaGuru besar didenda RM32,000 guna dokumen palsu, subahat tuntut bayaran

Guru besar didenda RM32,000 guna dokumen palsu, subahat tuntut bayaran

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru besar didenda sebanyak RM32,000 kerana menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sumbangan peruntukan khas Ketua Menteri dan bersubahat dengan seorang kontraktor berhubung tuntutan bayaran pembekalan peralatan sekolah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, menjatuhkan hukuman denda terhadap Abd Rasad Sadikir @ Sadikil, 57, ketika kes itu disebut untuk penghakiman hari ini.

Abd Rasad sebelum ini mengaku bersalah terhadap semua lapan pertuduhan.

Bagi dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu, Abd Rasad didenda RM8,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan menyatakan bahawa Abd Rasad didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Penyata Akaun bertarikh 19 Ogos 2021 dan Surat Sokongan Pegawal Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan N1 Banggi bertarikh 4 April 2021.

Kedua-dua dokumen palsu tersebut dikemukakan untuk menipu bagi tujuan mendapatkan sumbangan peruntukan khas Ketua Menteri untuk pembinaan Pejabat Pentadbiran Persatuan Komuniti Anak Banggi di Kampung Karakit Banggi, Kudat berjumlah RM85,000 yang disalurkan melalui Kementerian Kewangan Negeri Sabah ke dalam akaun bank milik seorang Wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara April hingga Julai 2021 di Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Blok C Menara Kinabalu, Jalan Teluk Likas, Tanjung Lipat.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi lapan pertuduhan bersubahat, Abd Rasad didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Bagi kesalahan ini, Abdul Rasad telah bersubahat dengan seorang kontraktor untuk mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran pembekalan peralatan sekolah rendah antara November dan Disember 2018 di pejabat am sebuah sekolah di Pitas.

Beliau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Norsham Saharom, mengendalikan pendakwaan. Tertuduh diwakili oleh peguam Adam Aludah.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/04/23/penjawat-awam-didakwa-guna-dokumen-palsu-untuk-peroleh-peruntukan-khas-ketua-menteri-rm85000/

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM Cari Empat Anak Allahyarham Daim Bantu Siasatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular