TAWAU: Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki seekor tenggiling, spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, di sebuah resort di Semporna.
Tertuduh, Mohammad Ali Iqram Thien Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki seekor tenggiling hidup daripada spesies Manis javanica yang ditemui di dalam tong plastik berwarna hitam pada jam 5.35 petang, 23 Februari lalu di resort berkenaan.
Haiwan tersebut merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan pemilikan itu didakwa tanpa sebarang kebenaran sah mengikut enakmen sama.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh turut diarahkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chun Yuan.



