Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terbuka menerima cadangan daripada pihak swasta bagi pembangunan terminal atau jeti baharu susulan penutupan Terminal Feri Jesselton Point pada 1 Mac lalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sebarang perancangan strategik untuk memusatkan operasi feri di bandar raya ini bergantung kepada inisiatif dan permohonan daripada sektor swasta.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang berhasrat membangunkan jeti perlu mendapatkan kelulusan DBKK serta Jabatan Laut sebelum projek dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan peraturan dipenuhi.
“DBKK mengalu-alukan penglibatan swasta, namun semua prosedur perlu dipatuhi. Keselamatan penumpang dan operasi adalah keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini pada Rabu.
Susulan penutupan terminal utama itu, pergerakan pelancong kini tertumpu ke beberapa lokasi termasuk Jeti DBKK dan jeti lain yang dikendalikan pihak tertentu.
Sehubungan itu, Sabin berkata, DBKK menggalakkan pengusaha bot menggunakan Jeti DBKK buat masa ini memandangkan kemudahannya yang disifatkan lebih berpatutan dari segi kos, selain selamat dan bersih.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada arahan mewajibkan semua pengusaha beroperasi di satu lokasi sahaja.
“Buat masa ini kita galakkan penggunaan Jeti DBKK. Namun jika mereka mempunyai pilihan jeti lain yang sah dan mendapat kelulusan, mereka bebas untuk beroperasi di sana,” katanya.
Beliau berkata, DBKK akan terus memantau operasi feri atau bot pelancong serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan keselamatan pelancong sentiasa terjamin. – SABAH MEDIA


