HomeUtamaSabah mahu kurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional

Sabah mahu kurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional

Read Time:2 Minute, 3 Second

TUARAN : Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber konvensional dan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari, serta mesra alam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik.

“Melalui usaha perluasan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan sahaja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kental dalam menghadapi cabaran global dan krisis iklim.

“Usaha ini adalah pelaburan kita untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek solar skala besar 15MW Tuaran dan Iftar Ramadan Sabah Energy Corporation (SEC)  di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik di sini pada Khamis.

Hajiji berkata, pelancaran projek Solar Skala Besar 15Megawatt (MW) di sini adalah bukti jelas sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya SEC dengan visi dasar negeri.

Beliau memuji SEC atas projek solar keduanya, menyusuli projek 5MW di Labuan yang membuktikan kredibiiti dan kemampuan teknikal dan komersial SEC dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu.

“Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15 megawatt (MW) kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa signifikan yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah,” katanya.

Hajiji berkata sepanjang fasa pembinaan, seramai 150 tenaga kerja akan terlibat secara langsung, termasuk tenaga kerja tempatan.

“Ini merupakan platform terbaik bagi anak watan kita menimba pengalaman industri serta menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu.

“Lebih bermakna lagi, apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka. mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal, dan sokongan pentadbiran.

“Inisiatif ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. Inilah intipati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar angka, tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat, dan memberi limpahan ekonomi terus kepada komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, projek ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri.

Menurutnya, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan ini dan ia harus memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri kekal komited dalam memperkasakan agenda pembangunan negeri kini di bawah kerangka Hala Tuju SMJ 2.0 dan dalam usaha menjayakan agenda besar ini, sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa palsukan dokumen bagi kelulusan pembiayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular