KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang dilantik sebagai Pemangku Presiden SAFA sehingga hujung tahun ini.
Setiausaha Agung SAFA Shamsuddin Mohd Shah berkata, pelantikan itu diputuskan sebulat suara dalam Mesyuarat Eksekutif SAFA selepas Presiden sebelum ini, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau berkata, Awang Kadin akan memangku jawatan tersebut sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
“Untuk tempoh sepanjang tahun ini tidak ada pemilihan baharu kerana jika diadakan sekarang, SAFA perlu mengadakan dua kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
“Oleh itu, kita membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada hujung tahun nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Sabah FC bersama golongan asnaf di Kota Kinabalu.
Shamsuddin berkata, pada AGM berkenaan nanti, SAFA akan membubarkan barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sedia ada sebelum melantik kepimpinan baharu termasuk Presiden dan Naib-Naib Presiden bagi penggal empat tahun.
Tambah beliau, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah.
Pada majlis itu, seramai 20 golongan asnaf menerima sumbangan dan turut menunaikan solat Maghrib bersama para pemain serta pasukan kejurulatihan Sabah FC. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



