KOTA KINABALU: Seramai 200 peserta menyertai Program Jalinan Kasih dan Ihya Ramadan anjuran Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) yang diadakan di Masjid Negeri Sabah pada Sabtu.
Peserta terdiri daripada warga JPKN, ahli keluarga serta orang awam yang bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan melalui pelbagai pengisian kerohanian dan aktiviti kebajikan.

Dalam program itu, seramai 100 pelajar tahfiz turut disantuni menerusi penyampaian sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan jabatan untuk berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan.
Penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menghidupkan suasana Ramadan melalui amalan qiamullail, tazkirah dan bersahur bersama, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara penjawat awam dan masyarakat setempat melalui pendekatan kebajikan dan insaniah.
Program berkenaan turut mempunyai nilai simbolik kerana dilaksanakan bersempena sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan JPKN yang sekian lama berperanan sebagai tulang belakang kepada transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri Sabah.
Selaras dengan perkembangan teknologi dan agenda transformasi digital kerajaan negeri, JPKN kini melangkah ke era baharu dengan penjenamaan semula kepada Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri Sabah.
Penjenamaan itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memacu inovasi digital, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong aspirasi pembangunan negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.



