TUARAN: Seramai 15 ‘sumandak’ dan lapan lelaki dipilih sebagai finalis bagi pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Tuaran 2026 (UNK) dan Randawi Tavantang Kaamatan Tuaran (RTK).
Penyelaras daerah UNK/RTK, Hannevy W Harry, berkata proses pemilihan yang diadakan di Shangri-La Rasa Ria Resort di sini pada Sabtu (14 Mac) dikendalikan oleh beliau bersama dua lagi panel penilai menyaksikan seramai 30 peserta mendaftar untuk menyertai pertandingan tersebut.
Menurut Hannevy yang juga Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, kesemua finalis akan mengikuti program pertandingan yang merangkumi bootcamp untuk finalis UNK dari 20 hingga 24 Mac, manakala bootcamp untuk finalis RTK akan berlangsung dari 24 hingga 26 Mac.
“Pertandingan akhir RTK akan diadakan di resort tersebut pada 25 April, serentak dengan malam gala UNK.
“Pertandingan akhir UNK Tuaran dijadualkan berlangsung di Dewan Seri Sulaman pada 3 Mei sempena sambutan Kaamatan peringkat daerah,” katanya.
Tambahnya, tiga pemenang teratas bagi kedua-dua pertandingan akan mewakili kawasan Tuaran, Tamparuli dan Kiulu ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan di Dewan KDCA, Penampang sempena sambutan Kaamatan peringkat negeri.
Finalis UNK Tuaran ialah Joyce Juin, Ellney Evanlisca, Olivia Jane Jaideh, Olzy Prishka Bansing, Linda James @ Jaimis, Elvitha Gunong, Sazelinn Mangi, Jesslyn Veeleryana Soideh, Magdlena Dinoh, Evyanareh Larry, Delvia Rachel Damianus, Marschella Pezol, Catsween Su Sun Ping, Juje Elor @ Francis dan Deeya Sandra Charlie.
Sementara itu, finalis RTK Tuaran ialah Adrie Hairold Damanih, Browell Ginsawat, Einer Equest Kuyun, Kristern Olwen Jafili, Hassan Der, Daniel Heiron, Ezra Mark Shynno dan Daniel Chrionie Taning.



