HomeUtamaPenerbangan terus Chongqing perkukuh kesalinghubungan Sabah – China

Penerbangan terus Chongqing perkukuh kesalinghubungan Sabah – China

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi pencapaian dalam sektor pelancongan apabila menerima penerbangan terus kali pertama dari Chongqing, China, semalam.

Pesawat Chongqing Airlines bagi penerbangan OQ2193 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 11.15 malam, sekali gus membuka laluan baharu yang beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

Chongqing Airlines merupakan anak syarikat China Southern Airlines dan penerbangan sulung itu membawa seramai 154 penumpang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketibaan pesawat itu disambut dengan pancuran air sebagai tanda penghormatan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), manakala Lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut mengadakan sambutan kebudayaan dengan penyampaian cenderamata kepada penumpang.

Turut hadir menyambut ketibaan penerbangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar; serta Pengurus Besar Pejabat China Southern Airlines Kuala Lumpur, Guo Hao.

Dengan penambahan Chongqing, Sabah kini mempunyai hubungan penerbangan dengan lapan bandar utama di China iaitu Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran China.

Guo Hao berkata, pembukaan laluan udara Chongqing–Kota Kinabalu bukan sahaja memendekkan jarak dan masa perjalanan antara kedua-dua bandar, malah membuka saluran baharu kepada penduduk Chongqing untuk ke Asia Tenggara bagi tujuan pelancongan, urusan perniagaan dan pertukaran budaya.

“Sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu terkenal dengan kekayaan produk pelancongan pulau serta keindahan landskap tropika yang unik, menjadikannya destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari China,” katanya.

Pelancaran laluan ini mencerminkan peningkatan profil Sabah sebagai destinasi pelancongan serta komitmen negeri dalam memperkukuh kesalinghubungan udara, sejajar dengan matlamat pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Lembaga Pelancongan Sabah akan terus bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan dan pemain industri bagi membangunkan lebih banyak laluan baharu, sekali gus meningkatkan akses antarabangsa ke Sabah serta memastikan pengalaman ketibaan yang lebih lancar kepada pelawat.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS pandang serius salah guna logo, nafi ada kaitan dengan ‘Suara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular