RANAU: Majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri terus memainkan peranan penting sebagai platform mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat pelbagai latar belakang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di Kampung Singgaron Baru, dekat sini, hari ini.
Joachim berharap agar Aidilfitri kali ini membawa lebih keberkatan, keharmonian dan kasih sayang kepada keluarga Jauteh serta seluruh masyarakat yang meraikannya.
“Majlis seperti ini menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir dari beberapa kampung terutamanya di sekitar daerah Ranau,” katanya sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan rumah atas jemputan tersebut.
Joachim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, hadir bersama isteri beliau, Datin Seri Linda Ewit, bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Turut hadir bersama Joachim ialah rombongan dari Pejabat Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, serta beberapa pemimpin masyarakat setempat yang hadir memenuhi undangan.
Sepanjang majlis, para tetamu disambut mesra oleh Jauteh bersama isteri beliau, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah, serta ahli keluarga dalam suasana penuh harmoni dan kemeriahan Aidilfitri.



