KOTA KINABALU : Orang ramai dijemput hadir ke Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-75 esok.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir berkata majlis tersebut akan diadakan di Masjid Negeri Kota Kinabalu pada 27 Mac bermula 11.40 pagi.
“Program akan dimulakan dengan bacaan Yasin diikuti dengan tahlil serta doa kesyukuran seterusnya jemaah akan menunaikan solat Jumaat dan solat hajat secara berjemaah.
“Doa selamat dan solat hajat merupakan antara amalan yang sering dilakukan apabila kita memohon keberkatan, perlindungan serta kesejahteraan daripada Allah SWT.
“Dalam konteks ini, ia adalah satu manifestasi doa rakyat kepada pemimpin negeri agar sentiasa diberi kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan serta terus memimpin dengan hikmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas ditemubual di Sabah fm, di sini pada Khamis.
Awang Juri yang juga Pengerusi Jawatankuasa program tersebut berkata, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman akan menyertai program berkenaan bersama-sama para pemimpin negeri.
Menurutnya, majlis sama turut dilaksanakan di peringkat daerah pada malam Khamis dengan pengisian bacaan Yasin, doa selamat dan juga solat hajat selepas Solat fardhu Isyak.
“Kita berharap majlis ini dapat memberi impak dari segi pengukuhan nilai spiritual dalam kalangan masyarakat, selain menyemai rasa kesyukuran dan kebersamaan,” katanya.
Tambah beliau, keseluruhan pengisian program dirangka agar majlis berlangsung dalam suasana yang tenang, tertib dan penuh penghayatan selari dengan tujuan utama penganjurannya.



