HomeUtamaKemudahan dialisis perlu ditambah tangani lonjakan pesakit buah pinggang

Kemudahan dialisis perlu ditambah tangani lonjakan pesakit buah pinggang

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Peningkatan kes penyakit buah pinggang di Sabah kini menuntut tindakan lebih menyeluruh, termasuk memperluaskan akses rawatan hemodialisis terutama di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah kemudahan rawatan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Menurut beliau, ketika ini Sabah mempunyai kira-kira 460 mesin hemodialisis di hospital kerajaan yang digunakan oleh sekitar 2,400 pesakit, dengan purata satu mesin dikongsi lima pesakit.

“Keadaan ini memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan, selain membebankan pesakit yang terpaksa berulang-alik dari kawasan jauh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Hari Raya anjuran Yayasan Buah Pinggang Sabah di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bantuan khas kerajaan berjumlah RM100,000 kepada yayasan berkenaan bagi menyokong usaha membantu pesakit buah pinggang di negeri ini.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat, dengan RM50,000 diberikan terlebih dahulu dan baki selebihnya selepas prestasi pelaksanaan program menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Masidi turut menggesa yayasan tersebut agar lebih proaktif dalam merancang strategi memperluaskan perkhidmatan dialisis ke kawasan yang masih kurang kemudahan.

Beliau juga menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan ketelusan amat penting bagi memastikan setiap sumbangan yang diterima benar-benar memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan awal dengan menjaga pemakanan dan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit kronik, termasuk penyakit buah pinggang.

RELATED ARTICLES
Utama

Beberapa jalan utama ditutup sempena istiadat perbarisan Isnin depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular