KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla, yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata tindakan berkenaan disifatkan tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif, selain menunjukkan kegagalan memahami realiti sejarah, prinsip undang-undang antarabangsa serta kedaulatan Malaysia yang telah lama diiktiraf dunia.
“Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia yang terbentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta diperkukuh melalui kehendak rakyat negeri ini yang secara sah dan demokratik memilih untuk menyertai Persekutuan Malaysia.
“Sehubungan itu, sebarang cubaan mempertikaikan perkara berkenaan adalah tidak relevan, tidak berasas dan wajar ditolak sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
“Sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan lapuk ini, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi, hanyalah retorik dangkal yang bermotifkan kepentingan politik sempit,” tegasnya.
Justeru, Wanita Gagasan Rakyat turut menyuarakan kebimbangan bahawa kenyataan berkenaan timbul ketika dunia berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujud agenda tersembunyi untuk mengeksploitasi sumber asli Sabah, termasuk minyak dan gas.
“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar kedaulatan negara secara terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Wanita Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negeri daripada sebarang ancaman luar.
Mereka turut menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi.
Redonah menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, agar terus bersatu dan berpendirian tegas dalam menolak sebarang cubaan pihak luar yang mencabar kedaulatan negeri ini.
“Sabah bukan untuk dipertikaikan. Sabah adalah milik Malaysia,” katanya.



