Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Malaysia tidak boleh dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, isu berkaitan kedudukan Sabah sering dimainkan semula, khususnya menjelang pilihan raya (Filipina), namun hakikatnya rakyat Sabah telah lama membuat keputusan untuk bersama membentuk Malaysia.
“Selalu apabila hampir pilihan raya (senat), timbul semula isu seumpama ini.
“Tetapi sejak awal lagi rakyat Sabah telah memilih untuk bersama Malaysia. Perkara ini tidak boleh dipersoalkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Hajiji berkata demikian bagi mengulas kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.
Dalam kenyataan di Facebook pada Rabu, Padilla berkata sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.
Hajiji berkata, Sabah merupakan negeri yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan, sebarang dakwaan atau naratif yang cuba mempertikaikan kedudukan tersebut adalah tidak berasas dan perlu diperbetulkan.
“Ini sesuatu yang jelas dan tidak boleh diwar-warkan sebagai isu, terutama oleh pihak tertentu. Kita perlu perbetulkan kenyataan yang mengelirukan,” katanya. – SABAH MEDIA



