HomeUtamaTragedi berdarah di Tenom: Abang tembak adik, suspek ditembak mati polis

Tragedi berdarah di Tenom: Abang tembak adik, suspek ditembak mati polis

Read Time:1 Minute, 18 Second

TENOM: Seorang lelaki maut selepas dipercayai menembak adiknya menggunakan senjata api buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Kemabong, pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dikerahkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 57 tahun yang juga abang mangsa berada di dalam rumah dengan bersenjatakan bakakuk serta mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, polis kemudian membuat kepungan di rumah suspek kira-kira jam 9.30 pagi dan mengarahkan lelaki itu menyerah diri, namun arahan tidak diendahkan.

“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih enggan berbuat demikian.

“Suspek kemudiannya bertindak agresif dengan mengacukan senjata api ke arah anggota polis dari dalam rumah,” katanya.

Azmir berkata, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan menggunakan senjata jenis HK MP5 bagi mempertahankan diri.

“Tembakan tersebut mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.

“Pasukan polis kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan mendapati suspek terbaring sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk senjata api bakakuk di sisi suspek dengan satu peluru hidup masih berada dalam laras.

Turut dirampas beberapa barangan termasuk peluru hidup 9mm, kelongsong peluru, kelopak peluru serta sebilah parang panjang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala tindakan polis dalam insiden berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Permohonan tangguh perintah Mahkamah berhubung bayaran 40% diputuskan 6 April

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular