HomePendapatMalaysia: Sektor Perkhidmatan Terus Kukuh Memacu Ekonomi

Malaysia: Sektor Perkhidmatan Terus Kukuh Memacu Ekonomi

Read Time:3 Minute, 16 Second

Wan Azrain Adnan  

Sektor perkhidmatan terus kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara , bukan sahaja sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), malah sebagai ‘majikan’ terbesar yang menyediakan jutaan peluang pekerjaan kepada rakyat di seluruh negara. 

Prestasi sektor ini semakin menyerlah apabila pada pertengahan Februari 2026, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaporkan pencapaian yang amat memberangsangkan bagi tahun 2025. Buat pertama kali sejak 2011, sektor perkhidmatan berjaya mencatatkan lebihan dagangan (trade surplus), sekali gus menamatkan rekod defisit selama 13 tahun. 

Jumlah perdagangan perkhidmatan pada tahun 2025 mencecah RM543.01 bilion — paras tertinggi dalam sejarah dan kali pertama melepasi ambang RM500 bilion. Angka ini menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.2% berbanding tahun sebelumnya. 

Eksport perkhidmatan turut mencatat rekod baharu sebanyak RM272.08 bilion, meningkat 12%, manakala import meningkat 6.4% kepada RM270.93 bilion. Hasilnya, lebihan dagangan sebanyak RM1.15 bilion berjaya direkodkan, satu pencapaian signifikan yang mencerminkan daya saing sektor ini di peringkat global. 

Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia didorong oleh strategi eksport bersasar melalui penyertaan aktif dalam ekspo antarabangsa berprofil tinggi seperti Pertunjukan Udara Antarabangsa Paris, ADIPEC, SEMICON Asia Tenggara dan Barat, serta Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia. Platform-platform ini membuka ruang kepada pemain tempatan untuk menembusi pasaran global dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, tenaga, semikonduktor dan penjagaan kesihatan. 

Menurut MATRADE, pencapaian ini mencerminkan kejayaan Malaysia beralih ke arah ekonomi berasaskan nilai dan pengetahuan tinggi, selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) untuk memperkukuh sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama kemakmuran negara. 

PERTUMBUHAN EKONOMI

Dari sudut pertumbuhan ekonomi, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sektor perkhidmatan berkembang 5.5% pada tahun 2025, meningkat berbanding 5.3% pada 2024. Bagi suku keempat sahaja, sektor ini mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu 6.3%, didorong oleh subsektor utama seperti Maklumat dan Komunikasi (8.9%), Pengangkutan dan Penyimpanan (8.7%), serta Perdagangan Borong dan Runcit (5.7%). 

Lebih penting, sektor ini kekal sebagai penyumbang terbesar kepada guna tenaga negara. Daripada 9.214 juta jawatan yang direkodkan, sebanyak 52.3% atau 4.816 juta adalah dalam sektor perkhidmatan, jauh mengatasi sektor lain seperti pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan. 

Subsektor perdagangan borong dan runcit sahaja menyumbang 1.81 juta jawatan, menjadikannya antara pemacu utama pekerjaan domestik. Malah, kadar pengisian jawatan hampir mencecah 100%, mencerminkan permintaan tenaga kerja yang tinggi serta kadar kekosongan yang rendah. 

Dari segi pewujudan pekerjaan baharu, sektor perkhidmatan sekali lagi mendahului dengan hampir 50% daripada keseluruhan 129,600 jawatan baharu pada tahun 2025. Dalam tempoh empat tahun (2022–2025), jumlah jawatan dalam sektor ini meningkat 6.3%, dengan trend peningkatan yang konsisten dan mampan. 

Namun, di sebalik prestasi memberangsangkan ini, cabaran baharu mula muncul. Pengukuhan nilai ringgit sejak awal 2025, sebanyak 14.8% berbanding dolar AS dalam tempoh 13 bulan dan  menimbulkan kebimbangan terhadap daya saing eksport negara. 

Walau bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa pengukuhan ini tidak akan memberi impak signifikan kepada prestasi eksport. Sebaliknya, ia dilihat sebagai petunjuk kepada asas ekonomi negara yang kukuh, serta permintaan global yang terus mampan terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia. 

Bagi memastikan momentum eksport terus diperkukuh, kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta kepada MATRADE di bawah Belanjawan 2026 untuk pelaksanaan Geran Pembangunan Pasaran dan inisiatif Malaysia Go Global, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Selain itu, sokongan pembiayaan turut disediakan melalui EXIM Bank sebanyak RM500 juta di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport, termasuk perlindungan takaful kredit perdagangan. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) pula menawarkan jaminan sehingga 70% pembiayaan, dengan nilai keseluruhan sehingga RM5 bilion. 

Persoalan seterusnya kini beralih kepada risiko luaran, khususnya konflik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan kepada perdagangan global dan rantaian bekalan.

Dalam konteks ini, ketahanan sektor perkhidmatan Malaysia bakal diuji sekali lagi. Namun berdasarkan prestasi semasa, asas yang kukuh serta sokongan dasar yang berterusan, sektor ini dilihat berada pada landasan yang tepat untuk terus menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi negara. 

RELATED ARTICLES
Utama

Cadangan projek kereta kabel Kinabalu perlu patuhi prinsip pembangunan mampan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular