KOTA KINABALU : Sabah mensasarkan 40 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Selangor Ogos ini, melepasi rekod tertinggi sebelum ini sebanyak 33 pingat emas yang dicatatkan pada temasya sama di Ipoh, Perak.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, persiapan telah dilakukan sejak awal tahun ini dan beliau optimis sasaran tersebut boleh dicapai.
“Saya yakin pencapaian kita kali ini akan lebih baik daripada SUKMA sebelum ini. Saya juga telah diberi taklimat oleh pengurusan pasukan SUKMA Sabah yang diketuai oleh pengarah Majlis Sukan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengahdiri Acara Pratonton Eksklusif projek Marché Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.
Nizam berkata, disiplin dan komitmen atlet adalah kunci untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Saya berharap semua peserta yang telah disenarai pendekkan terus gigih menjalani latihan dan memastikan tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik.
“Dengan kesungguhan dan komitmen ini, apa yang kita harapkan akan tercapai. Sasaran 40 pingat emas ini dianggap optimis, memandangkan ia melebihi sasaran sebelumnya sebanyak tujuh pingat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sasaran ini telah lama dirancang, namun belum pernah dicapai.
“Sejak saya dilantik sebagai menteri, saya telah meminta komitmen daripada Majlis Sukan Negeri Sabah dan semua atlet serta persatuan sukan untuk berusaha lebih gigih. Mudah-mudahan, dengan usaha bersama, sasaran 40 pingat emas dapat direalisasikan,” katanya. – SABAH MEDIA


