KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan seperti tidak tentu arah sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha.
Peguam Datuk Ram Singh berkata saksi kanak-kanak, seorang pelajar tingkatan dua ketika itu, melihat Zara berjalan mundar-mandir hanya di kawasan hadapan tandas aras tiga dan sebuah bilik asrama, bukan di sepanjang koridor.
Menurut Ram kejadian itu dilihat oleh saksi pada 16 Julai 2025, di antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, semasa beliau dari asrama Blok B, mahu berjumpa dengan rakan sekelas di asrama Blok A.
“Saksi berasa pelik dan risau melihat keadaan itu lalu naik ke aras tiga melalui tangga belakang untuk memastikan keadaan beliau.
“Apabila sampai ke aras tiga, saksi menyedari bahawa pelajar tersebut ialah Zara. Wajahnya kelihatan merah dan Zara seperti baru menangis.
“Zara menangis teresak-esak dan matanya merah. Zara memanggil nama saya. Saya bertanya keadaannya dan Zara menyatakan beliau mahu berpindah sekolah. Apabila saya bertanya sebabnya, Zara enggan menjelaskan dan hanya menyebut bahawa ’saya mahu terjun‘,” kata Ram sambil menambah saksi menasihatkan Zara untuk tidak melakukannya.
Ram berkata saksi terkejut dan pada mulanya kurang pasti sama ada Zara bersungguh atau hanya bergurau kerana sebelum ini Zara pernah beberapa kali menyebut perkara yang sama.
“Namun saksi tetap menasihati Zara supaya bertenang. Tempoh saksi bersama dengan Zara pada ketika itu adalah lebih kurang 10 minit. Saksi memegang tangannya dan membawanya masuk semula ke biliknya.
“Saksi kemudian menutup pintu bilik tersebut dengan harapan Zara akan berehat dan tidur. Saksi menghantar Zara sehingga depan pintu bilik sahaja, melihat dia masuk dan saksi terus bergerak balik ke dormnya di Blok B,” kata Ram.
Tambah Ram lagi, saksi hanya mengetahui insiden yang menimpa mengenai Zara pada keesokan paginya, selepas solat subuh
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di Tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 16 Julai 2025 kira-kira jam 3 pagi di Hospital Queen Elizabeth.
Ram bersama peguam Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang pelajar yang berdepan pertuduhan mencela Zara di Mahkamah Kanak-Kanak. Perbicaraan kes ini juga masih berlangsung.



