HomeUtamaPermohonan Kerajaan Persekutuan tangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah berhubung tuntutan 40% dibenarkan

Permohonan Kerajaan Persekutuan tangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah berhubung tuntutan 40% dibenarkan

Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah berhubung isu tuntutan 40 peratus Sabah.

Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim yang bersidang secara dalam talian.

Presiden Sabah Law Society (SLS) Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu menurut Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurut Nazim, mahkamah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan di bawah Seksyen 44, walaupun terdapat bantahan prosedural, dan terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan sementara menunggu pelupusan rayuan.

“Dalam membuat keputusan, mahkamah mengambil kira bahawa tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi — yang memerlukan semakan dalam tempoh 90 hari dan persetujuan dicapai dalam tempoh 180 hari — mungkin tidak memberi ruang mencukupi untuk penentuan jumlah bayaran yang sewajarnya, khususnya mengambil kira skop semakan yang merangkumi beberapa tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

“Mahkamah juga berpandangan bahawa penguatkuasaan bayaran dalam jumlah yang besar sebelum rayuan dilupuskan boleh mewujudkan keadaan ‘fait accompli’, sekali gus menyebabkan rayuan menjadi tidak bermakna serta menjejaskan integriti proses rayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazim berkata mahkamah turut mengambil maklum bahawa pemohon menunjukkan langkah sedang diambil untuk mempercepatkan pendengaran rayuan.

“Kesan perintah ini adalah untuk mengekalkan kedudukan sedia ada sementara menunggu pelupusan rayuan. Ia tidak mengetepikan dapatan Mahkamah Tinggi, termasuk penentuan bahawa telah berlaku kegagalan untuk melaksanakan semakan berkala seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

SLS menegaskan bahawa keputusan ini bersifat bersifat prosedural. Isu perlembagaan yang substantif, termasuk tafsiran dan pelaksanaan sewajarnya Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, masih akan ditentukan dalam rayuan.

“SLS akan terus mengambil bahagian dalam prosiding dan bertindak selaras dengan undang-undang serta rekod di hadapan mahkamah,” katanya.

Pada Februari tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah memfailkan permohonan penangguhan, dengan menamakan SLS sebagai responden pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai responden kedua.

Dalam permohonan mereka, pemohon antara lain, meminta agar perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 kecuali bagi perenggan 2(b), ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pemohon juga meminta agar tiada perintah dikenakan kos, serta apa-apa lagi ganti rugi atau perintah lain yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.

Pada 17 Oktober tahun lalu, SLS berjaya dalam semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula bersama Kerajaan negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil bersih Sabah dari tahun 1974 hingga 2021.

“Semakan tersebut hendaklah dijalankan bagi setiap tahun kewangan berturut-turut (consecutive financial year) dari tahun 1974 hingga tahun 2021, dalam tempoh 90 hari dari tarikh perintah ini dikeluarkan, dan persetujuan antara kedua-dua kerajaan hendaklah dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah ini,” kata hakim Datuk Celestina Stuel Galid.

SLS memfailkan semakan kehakiman pada 2022 dan menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai responden pertama dan kedua masing-masing dalam semakan kehakiman tersebut.

SLS, antara lain, mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan gagal mengadakan semakan hasil wajib setiap lima tahun sejak 1974.

LINK BERITA KEPUTUSAN PENUH MAHKAMAH TINGGI:

RELATED ARTICLES
Utama

Hak 40 peratus Sabah bukan untuk ditangguh, rundingan perlu diteruskan –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular