HomeUtamaPelancongan kekal aktif meski cabaran global

Pelancongan kekal aktif meski cabaran global

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perkembangan isu global yang tidak menentu, tidak menghalang orang ramai untuk terus melancong, walaupun industri pelancongan dijangka berdepan pelarasan kos melibatkan surcaj bahan api sekitar lima peratus.

Pengerusi Penganjur MATTA Fair Sabah 2026, Mohd Azlan Saleh Abd Salam berkata, sektor pelancongan ketika ini masih kekal aktif dengan permintaan yang stabil, termasuk bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, sebarang kenaikan harga tidak melibatkan keseluruhan pakej pelancongan, sebaliknya hanya tertumpu kepada komponen pengangkutan seperti tiket penerbangan dan penggunaan bas.

“Pelarasan ini kecil, sekitar lima peratus sahaja dan melibatkan surcaj bahan api. Ia tidak dikenakan secara menyeluruh kepada semua pakej,” katanya dalam sidang media MATTA Fair Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan harga bahan api global, yang turut memberi kesan kepada kos operasi syarikat penerbangan dan pengangkutan darat.

Katanya, mekanisme surcaj itu dibuat secara bersasar dengan mengambil kira peningkatan kos semasa, sebelum diagihkan kepada peserta pakej bagi memastikan harga kekal munasabah.

Dalam masa sama, pihaknya memberi jaminan bahawa industri akan terus memantau harga dan mengelakkan kenaikan tidak logik, selain menasihatkan pengguna supaya membuat perbandingan sebelum memilih pakej.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini tiada pembatalan besar melibatkan perjalanan pelancong dari Sabah, termasuk bagi destinasi antarabangsa dan umrah.

“Jika ada pun, hanya kes terpencil dan kebanyakannya ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya. Keadaan masih terkawal,” katanya.

Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sabah turut mengambil pendekatan memberi fokus kepada pasaran serantau khususnya Asia yang dilihat lebih stabil dan berdaya tahan, tanpa menjejaskan perjalanan ke destinasi lain seperti Eropah dan Timur Tengah.

Sementara itu, MATTA Fair Sabah 2026 yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 April ini menyasarkan nilai jualan sekitar RM30 juta, berbanding kira-kira RM28 juta yang direkodkan sebelum ini, selaras dengan peningkatan penyertaan dan keyakinan industri.

Orang ramai, pemain industri dan rakan strategik dijemput untuk turut serta dalam MATTA Fair Sabah 2026.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai MATTA Fair Sabah, layari www.mattafair.org.my serta ikuti MATTA Fair Sabah di Facebook @MATTA Sabah dan Instagram @mattafairsabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Amang seksual: Bapa tiri dipenjara 16 tahun, 2 sebat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular