TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 570 keping sisik penyu daripada spesies dilindungi sepenuhnya.
Tertuduh, Khalid Janullah, 65, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata pada kira-kira jam 9.05 pagi, 15 November 2025, di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah.
Spesies penyu berkenaan merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) enakmen berkenaan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4) enakmen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh dan memerintahkan supaya dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



